Seminar “Good Faith in Contractual Performance” telah diadakan pada 27 Ogos 2021 (Jumaat) di Bilik Mesyuarat Utama, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Istana Kehakiman, Putrajaya. Objektif seminar ini adalah untuk menyediakan peserta-peserta dengan pemahaman yang lebih baik mengenai perspektif dan aplikasi konsep Good Faith di Malaysia. Program ini adalah program kedua di bawah Akademi Kehakiman Malaysia pada tahun 2021 dan yang pertama dilaksanakan secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia bagi jemputan peserta Hakim Mahkamah Seksyen dan Timbalan Pendaftar seluruh Malaysia. Pelaksanaan program secara atas talian ini telah dilaksanakan dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.
Seramai 159 orang peserta berdaftar yang terdiri daripada 6 orang Hakim Mahkamah Persekutuan, 7 Hakim Mahkamah Rayuan, 27 orang Hakim Mahkamah Tinggi, 39 orang Pesuruhjaya Kehakiman, 41 orang Hakim Mahkamah Seksyen, dan 39 orang Timbalan Pendaftar/Pegawai Khas/Pegawai Penyelidik telah menghadiri program ini secara atas talian. Manakala seramai 115 orang Timbalan Pendaftar/Pegawai khas/Pegawai Penyelidik yang tidak berdaftar telah turut menghadiri program ini secara atas talian.
Program selama separuh hari ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YA Datuk Seri Haji Mohd Zawawi bin Salleh, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan, Akademi Kehakiman. Program kemudian diteruskan oleh sesi pengenalan oleh YA Datuk See Mee Chun, Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai moderator sebelum YBrs. Dr. Nurhidayah binti Abdullah, Pensyarah Kanan dari Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya memulakan ceramah beliau yang bertajuk “Good Faith in Contractual Performance”. Sesi ceramah tersebut telah diakhiri dengan sesi soal-jawab dan penilaian kursus secara atas talian oleh para peserta program.