Bengkel “Islamic Finance Workshop Series for Judges : Managing Islamic Banking Cases” adalah merupakan bengkel anjuran bersama yang julung-julung kali diadakan antara Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Ia telah diadakan pada 28-29 Jun 2013 di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YAA Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Ia turut dihadiri oleh YAA Tan Sri Md. Raus bin Sharif, Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli bin Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya dan YBhg. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara.
Objektif bengkel ini adalah untuk mendedahkan hakim-hakim kepada isu-isu semasa dan mengenalpasti cabaran-cabaran utama terutamanya dalam aspek perundangan yang dihadapi dalam institusi perbankan Islam. Sehubungan itu, bengkel ini telah dirangka untuk membincangkan beberapa aspek penting dalam pengurusan perbankan Islam seperti:
(i) memperkenalkan prinsip-prinsip utama syariah dalam sistem kewangan Islam;
(ii) Membincangkan sale-based contracts yang sering digunapakai dalam transaksi kewangan Islam dan pelaksanaan ibra’ (rebate);
(iii) Membincangkan prinsip-prinsip musharakah, mudarabah dan lease-based contracts termasuk perbincangan mengenai wa’d (promise); dan
(iv) Membincangkan struktur sukuk, kerangka perundangan dan isu-isu yang berkaitan.
Seramai 10 orang penceramah yang pakar dalam bidang kewangan/perundangan Islam telah dijemput mengendalikan bengkel ini. Mereka adalah
(i) Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) selaku moderator bengkel;
(ii) Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa;
(iii) Assoc. Prof. Dr. Aznan Hassan, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa;(iv) Encik Mohamed Ridza Abdullah, Managing Partner, Messrs. Mohamed Ridza and Co.;
(v) Encik Rafe Haneef, Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Amanah Malaysia;
(vi) Encik Wan Mohd. Nazri Wan Osman, Pengarah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia;
(vii) YABhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara dan Chairman, Law Harmonisation Committee of Bank Negara Malaysia;
(viii) Dr. Mohd. Daud Bakar, Chairman of Syariah Advisory Council, Bank Negara Malaysia;
(ix) YA Dato’ Haji Mohd. Zawawi Salleh, Hakim Mahkamah Rayuan; dan
(x) YA Dato” Rohana Yusuf, Hakim Mahkamah Rayuan.
Seramai 85 orang peserta yang terdiri daripada 56 Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman serta 29 Pegawai Kehakiman telah menghadiri bengkel ini. Bengkel ini telah dibahagikan kepada 5 sesi ceramah dan 2 perbincangan panel. Di setiap sesi ceramah diperuntukkan selama 1 jam, manakala panel perbincangan antara 45 minit hingga 1½ jam. Majlis penutupan rasmi bengkel ini telah disempurnakan oleh YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli bin Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya.