Seminar “The Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012: The Role of the Court” adalah merupakan seminar yang julung-julung kali diadakan dengan kerjasama antara Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan Kuala Lumpur Regional Centre for Arbitration (KLRCA).
Seramai 3 orang penceramah yang pakar dalam bidang ini telah dijemput mengendalikan seminar ini. Mereka adalah Ir. Harbans Singh dari Malaysia, Ms. Rashda Rana dari Australia dan Mr. Adrian Hughes QC dari United Kingdom.
Seramai 59 orang peserta yang terdiri daripada 41 Hakim Mahkamah Tinggi dan 18 Pesuruhjaya Kehakiman serta 56 Pegawai Kehakiman yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Penagarah mahkamah Negeri, Hakim Mahkamah Sesyen dan Timbalan Pendaftar telah menghadiri kursus ini. Secara keseluruhan peserta seminar ini adalah seramai 115 orang.
Seminar ini telah dirasmikan oleh YAA Tun Arifin b. Zakaria, Ketua Hakim Negara dan penutupan rasmi oleh YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli b. Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya. Seminar ini turut dihadiri oleh YAA Tan Sri Md Raus b. Sharif, Presiden Mahkamah Rayuan dan YAA Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Kandungan seminar telah dibahagikan kepada 8 sesi mengenai tajuk-tajuk penting dalam The Construction Industry Payment and Adjudication Act 2012. Di setiap sesi, seorang penceramah akan memberi penerangan mengenai tajuk-tajuk tertentu dengan dibantu oleh rakan-rakan mereka yang lain. Peserta telah berinteraksi dengan penceramah di setiap masa melalui persoalan-persoalan yang ditimbulkan di sepanjang sesi/seminar berlangsung.